networkedblogs

Bersahabat..

MALAYSIA AMAN TANPA DAP!!!

Thursday, September 12, 2013

#HariMalaysia50 Raikan Kesatuan...Dari Kacamata Orang Sarawak...


Oleh Caroline Jackson

KUCHING (Bernama) -- Tatkala Sarawak meraikan ulangtahun kemerdekaan yang ke-50 di bawah nama Malaysia, penerima anugerah Tokoh Kemerdekaan Datuk Seri Dominic Dago hanya menaruh satu harapan, agar rakyat Malaysia tetap bersatu padu di bawah semangat 1Malaysia.

Bekas ahli parlimen Serian itu berkata generasi muda harus mencontohi semangat patriotik yang tidak berbelah-bahagi yang ditunjukkan nenek moyang mereka dalam perjuangan mencapai kemerdekaan. Jangan diambil ringan keharmonian, keamanan, kestabilan dan kesejahteraan negara yang dinikmati selama ini, katanya.

"Hari Malaysia yang jatuh setiap 16 Sept adalah bagi meraikan pembentukan Malaysia, 50 tahun lepas. Ia asas kepada masa hadapan kita," kata Dago, 80 tahun. Beliau satu-satunya anggota Jawatankuasa Antara Kerajaan, yang merundingkan penyertaan Sarawak dan Sabah (yang ketika itu dikenali sebagai North Borneo) ke dalam Persekutuan Malaysia (bersama Malaya dan Singapura), yang masih hidup.

HASIL PRO-MALAYSIA

Kata Dago, adalah menyedihkan tidak ramai anak muda Malaysia hari ini yang mengetahui Sarawak telah merdeka daripada jajahan British terlebih dahulu iaitu pada 22 Julai, 1963.

Pada 16 Sept, 1963, majlis pengisytiharan Persekutuan Malaysia yang diadakan di Padang Central (yang kini dikenali sebagai Padang Merdeka) telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri yang pertama iaitu Datu Abang Openg Abang Sapiee, arwah bapa kepada Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak sekarang ini, Datuk Amar Abang Johari.

Ketua Menteri Sarawak yang pertama, mendiang (Tan Sri) Stephen Kalong Ningkan dan menteri persekutuan Tan Sri Mohd Khir Johari, yang mewakili kerajaan Malaya, berucap pada hari bersejarah itu.

Beliau berkata ketika itu ramai orang Sarawak menyokong pembentukan Malaysia dengan Parti Negara Sarawak (Panas), yang diketuai arwah Datuk Bandar Mustapha, menjadikannya parti politik pertama menyokong langkah itu.

Bagaimanapun, terdapat sekumpulan kecil yang mahukan British terus memerintah kerana menganggap mereka pihak neutral. Manakala sebahagian lagi memilih untuk lari ke Indonesia dan menyertai perjuangan bersenjata yang memulakan bibit pemberontakan Komunis di negeri ini, katanya.

Beberapa tahun pertama sejarah Malaysia dinodai dengan Konfrontasi Indonesia-Malaysia, serangan Komunis, tuntutan Filipina ke atas Sabah dan pemisahan Singapura daripada Persekutuan pada 19 Ogos, 1965.

KEPAYAHAN

"Orang kita menghadapi pelbagai masalah dan kesusahan, terutama mereka yang tinggal berdekatan sempadan Indonesia-Malaysia kerana terpaksa menggali lubang di bawah rumah untuk menyelamatkan diri," kata Dago.

Pihak berkuasa ketika itu juga terpaksa melaksanakan perintah berkurung, terutama di kawasan pedalaman yang berhadapan dengan ancaman Komunis.

Akhirnya kerajaan memutuskan untuk menempatkan semula penduduk yang disasar Komunis ke kawasan terkawal seperti Siburan, Beratok dan Tapah sepanjang jalan Kuching-Serian. Di Sibu ditubuhkan pula Pemerintahan Keselamatan Kawasan Rajang (Rascom).

"Sebelum itu, kawasan berkenaan tiada jalan, tiada bekalan air atau elektrik, tiada sekolah mahupun klinik. Tapi kini saya gembira melihat keluarga dan rakan hidup di penempatan baru dengan jalan bertar, bekalan air dirawat, elektrik, sekolah yang bagus, klinik dan bermacam lagi," kata Dago.

GEN Y

Sementara itu, presiden Persatuan Bloggers Sarawak Cyril Dason, 30, memuji keputusan kerajaan persekutuan mengiktiraf kepentingan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia dengan mewartakan 16 Sept sebagai cuti umum, beberapa tahun lepas.

"Ia juga bagus kerana mengajar generasi muda sejarah sebenar Malaysia. Sebelum ini tiada siapa pun kisah tentang Hari Malaysia dan buku-buku sejarah pun tidak banyak mencerita mengenainya ketika saya masih belajar dulu," katanya kepada Bernama.

Mungkin ramai anak muda hari ini yang dikenali sebagai Gen Y ingin meraikan Hari Malaysia dengan melepak di pusat membeli-belah bersama rakan-rakan, ke kelab malam atau bersantai di tepi pantai. Namun sebagai seorang blogger, Cyril bercadang menggunakan media sosial untuk menghebahkan sambutan hari bersejarah itu di samping berkongsi pelbagai artikel menarik dan berkaitan di atas talian.

Bagi Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Marudi, Sahrein Maloh, 33, Hari Malaysia bagaikan satu peringatan kepada setiap rakyat Malaysia akan kepentingan kesatupaduan, tidak kisahlah sama ada mereka dari Sabah, Sarawak atau Semenanjung.

Sahrein akan menyertai pelbagai aktiviti anjuran kerajaan bagi meraikan Hari Malaysia termasuklah perarakan yang melibatkan 92 kontinjen dan 4,000 peserta di Padang Merdeka di sini.

Scott Kuek, 34, seorang eksekutif di sebuah agensi kerajaan turut berminat untuk turun ke padang dan melihat perarakan.

"Ramai yang dalam lingkungan umur saya ini lebih suka melihat siaran langsung di kaca televisyen untuk mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalulintas. Namun saya teringin untuk merasakan sendiri kemeriahan sambutan di lokasi," katanya.

SAMBUTAN JUBLI EMAS

Walaupun cukup sibuk dengan tuntutan pekerjaan, Scott telah mencari peluang melawat pameran "Sarawak 50 Glorious Years" di Kompleks Pelancongan Sarawak di sini. Pameran itu padat dengan maklumat berguna yang menceritakan tentang keperitan perjuangan di Sarawak dalam mengecapi kemerdekaan, katanya.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim dijadual menyertai sambutan besar-besaran pada malam sebelum sambutan Hari Malaysia.

Baginda dijangka menyaksikan perarakan kapal berhias di Kuching Waterfront di sini. Pada hari berikutnya baginda akan berangkat menghadiri perarakan Hari Malaysia di Padang Merdeka.

Turut dijemput menghadiri sambutan ialah pasukan veteran Komanwel dari Britain, Australia dan New Zealand, keluarga Brooke dan pegawai kerajaan yang telah berkhidmat di negeri itu ketika ia mencapai kemerdekaan.

Sambutan itu akan turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

-- BERNAMA

No comments:

ARTIKEL TERDAHULU

NOTIS & PENAFIAN

Sebarang maklumat yang hendak dikongsikan boleh email terus kepada aku di harapanesok@gmail.com.

Artikel yang dipaparkan di blog ini adalah luahan hati aku selaku rakyat Malaysia yang bebas bersuara yang tiada kaitan dengan mana-mana organisasi.

Korang diingatkan supaya tidak membaca artikel di blog ini jika tidak mahu rasa sakit hati, makan hati dan kecelaruan emosi. Jika berlaku perkara yang tidak diingini adalah di bawah tanggungjawab korang.

Aku bukan ustaz kaunseling 3 pagi untuk memulihkan perasaan korang.

LIGA SUPER

LIGA PERDANA