networkedblogs

Bersahabat..

VIDEO VIRAL MERDEKA KE-60

Friday, September 19, 2014

Bank Perumahan Khusus Bakal Ditubuhkan Untuk Rakyat Berpendapatan Rendah Dan Sederhana Membeli Rumah....


Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bercadang menubuhkan sebuah Bank Perumahan khusus bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri.

Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kewujudan bank tersebut merupakan salah satu mekanisme baharu kerajaan bagi memberi pinjaman perumahan untuk pemohon rumah mampu milik terutamanya kos rendah dan sederhana rendah.

Beliau berkata, cadangan itu diambil selepas pihaknya mendapat maklum balas dan rungutan daripada orang ramai yang mengalami kesukaran untuk mendapatkan pinjaman perumahan daripada bank komersial.

"Cadangan ini selari dengan pengwujudan Bank Perumahan yang dicadang-kan oleh kerajaan negeri Johor baru-baru ini supaya bank ini secara khusus memproses pinjaman perumahan, dengan cara ini mereka akan lebih fokus dan tidak mengenakan syarat ketat seperti bank komersial.

"Bagaimanapun, penubuhan bank ini hanya dikhususkan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana kerana mereka membuat aduan tidak mendapat peluang mendapatkan pinjaman perumahan daripada bank komersial disebabkan syarat ketat oleh Bank Negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan Ke-68 di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Abdul Rahman, di samping cadangan itu, pihaknya juga mengkaji cadangan untuk membenarkan syarikat peminjam wang berlesen seperti syarikat insurans dan koperasi yang berada di bawah kementeriannya untuk memberikan pinjaman perumahan tersebut kepada golongan terbabit.

Katanya, semua cadangan tersebut akan dibawa ke peringkat kementerian terlebih dahulu untuk perincian lebih lanjut sebelum dibawa ke Kabinet bagi mendapatkan kelulusan.

Abdul Rahman berkata, buat masa ini pihaknya akan menunggu sehingga Bajet 2015 selesai dibentangkan pada 10 Oktober ini sebelum mengambil tindakan seterusnya.

"Kita tunggu sehingga Bajet 2015 dibentangkan sebelum membuat keputusan bagaimanapun, keputusan yang akan diumumkan nanti boleh dibuat dengan cepat kerana syarikat pinjaman wang berlesen sudah ada cuma sekarang ini mereka hanya memberi pinjaman peribadi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat tersebut juga bersetuju supaya nama jalan dan projek perumahan yang akan dibina hanya menggunakan istilah bahasa Melayu.

Pada masa sama, katanya, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara juga telah dimaklumkan supaya menggunakan bahasa Melayu dalam menamakan taman dan lorong di kawasan masing-masing

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

ARTIKEL TERDAHULU

NOTIS & PENAFIAN

Sebarang maklumat yang hendak dikongsikan boleh email terus kepada aku di harapanesok@gmail.com.

Artikel yang dipaparkan di blog ini adalah luahan hati aku selaku rakyat Malaysia yang bebas bersuara yang tiada kaitan dengan mana-mana organisasi.

Korang diingatkan supaya tidak membaca artikel di blog ini jika tidak mahu rasa sakit hati, makan hati dan kecelaruan emosi. Jika berlaku perkara yang tidak diingini adalah di bawah tanggungjawab korang.

Aku bukan ustaz kaunseling 3 pagi untuk memulihkan perasaan korang.

LIGA SUPER

LIGA PERDANA