networkedblogs

Bersahabat..

LAGU CERITA KEBENARAN SEMPENA HARI LAHIR PM, NAJIB RAZAK

Saturday, November 15, 2014

1BestariNet - YTL Didenda RM 2.4 Juta

Pemilik YTL, Francis Yeoh
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini memaklumkan YTL Communications Sdn Bhd didenda RM2.4 juta pada bulan lalu kerana gagal melengkapkan sekolah seluruh negara dengan perkhidmatan 1BestariNet.

KPM berkata, berdasarkan kontrak yang diberikan selama dua tahun setengah bermula 13 Disember 2011, YTL gagal merangkaikan 1,003 sekolah dengan perkhidmatan internet tersebut.

"KPM ingin menjelaskan bahawa sehingga tamat tempoh kontrak pada 12 Jun 2014, pihak syarikat berjaya merangkaikan sebanyak 8,886 daripada 9,889 buah sekolah di seluruh negara dengan perkhidmatan 1BestariNet.

"Manakala sebanyak 1,003 sekolah tidak dapat dirangkaikan dengan 1BestariNet kerana syarikat gagal untuk mendapatkan kelulusan dari pihak berkuasa tempatan bagi membina menara telekomunikasi di beberapa negeri, khususnya di Sarawak, Pulau Pinang dan Kelantan.

"Bagaimanapun, bagi 1,003 sekolah yang belum dirangkaikan, KPM sudah menyediakan perkhidmatan internet melalui talian internet interim yang disediakan oleh pembekal perkhidmatan internet yang lain bagi membolehkan sekolah melaksanakan aktiviti pembelajaran murid secara dalam talian," kata KPM dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara hari ini mendedahkan Projek 1BestariNet KPM tidak memenuhi sasaran tempoh dua setengah tahun selain gagal menyediakan Platform Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) kepada 10,000 sekolah di seluruh negara.

Laporan itu mendakwa, projek 1BestariNet dilaksanakan sebelum guru dan pelajar dilatih sepenuhnya mengguna VLE.

"Penggunaan VLE oleh guru, pelajar dan ibu bapa adalah sangat rendah, 0.01% ke 4.69%," dedah laporan berkenaan.

KPM berkata tahap penggunaan VLE dalam tempoh tiga tahun pertama berada dalam lingkungan 5% ialah lazim, sebagaimana program transformasi pengintegrasian ICT.

Katanya, kementerian sedang memastikan tahap penggunaan VLE ditingkatkan kepada 30-35% dalam tempoh setahun, selain menetapkan KPI penggunaan VLE, khususnya di kalangan guru pada 2015, di antara 25% dan 40% penggunaan.

KPM sudah mengambil langkah-langkah kukuh seperti berikut:

* memastikan prestasi capaian Internet berupaya memberi pengalaman pengguna yang baik melalui pemantauan kualiti rangkaian yang proaktif dan rapi;

* memastikan setiap sekolah mempunyai kelengkapan ICT untuk melaksanakan e-Pembelajaran melalui program 1Murid 1Peranti serta program penyenggaraan peralatan ICT;

* memastikan semua pengurus sekolah mempunyai kemahiran menguruskan sumber terhad melalui penjadualan optimum; dan

* memastikan VLE mempunyai bilangan kandungan (pelajaran) yang mencukupi dan boleh dicapai semua murid tanpa intervensi guru.

Berhubung laporan audit yang mendakwa sambungan jalur lebar di hampir 90% daripada 46 sekolah yang diuji 'tidak memuaskan', KPM berkata pengauditan ke atas rangkaian 1BestariNet secara rawak pada Disember 2013 sudah dilakukan.

KPM berkata dalam tempoh pengauditan tersebut, kelajuan jalur lebar, kependaman (latency), penurunan paket dan “jitter” merupakan antara kriteria ujian yang digunakan.

"Kesemua pengauditan yang dijalankan sepanjang tempoh kontrak mendapati rangkaian 1BestariNet memenuhi Aras Jaminan Perkhidmatan (SLG) yang ditetapkan.

"Bagi mengesahkan kualiti rangkaian yang dibekalkan serta dapatan pengauditan KPM, pengauditan agensi luar dan pihak berkecuali juga dilaksanakan dari semasa ke semasa."

Antara agensi luar yang pernah dilibatkan dalam pengauditan rangkaian 1BestariNet ialah Mampu dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Setakat ini, berdasarkan pengauditan rangkaian yang dilaksanakan secara berkala, pembekal didapati memenuhi SLG seperti dalam kontrak 1BestariNet, katanya.

KPM berkata perolehan perkhidmatan 1BestariNet adalah dilakukan secara tender terbuka bagi tempoh 15 tahun pada 15 Mei 2011 di mana 16 syarikat telekomunikasi menyertai tender tersebut.

Katanya, berdasarkan penilaian teknikal dan kewangan yang dilaksanakan Lembaga Perolehan KPM, YTL Communications ditawarkan kontrak berdasarkan kedudukan penilaian spesifikasi teknikal yang terbaik dan harga yang munasabah, konsisten dengan keputusan Kementerian Kewangan membahagikan tempoh pelaksanaan mengikut fasa.

"Pelaksanaan 1BestariNet mengambil kira dapatan kajian impak yang dilaksanakan oleh pakar perunding berkecuali yang diselaraskan Unit Perancang Ekonomi.

"Reka bentuk rangkaian, spesifikasi perkhidmatan serta skop kerja sudah dimuktamadkan Jawatankuasa Spesifikasi Teknikal Perkhidmatan 1BestariNet, KPM," katanya. – 10 November, 2014.

No comments:

ARTIKEL TERDAHULU

NOTIS & PENAFIAN

Sebarang maklumat yang hendak dikongsikan boleh email terus kepada aku di harapanesok@gmail.com.

Artikel yang dipaparkan di blog ini adalah luahan hati aku selaku rakyat Malaysia yang bebas bersuara yang tiada kaitan dengan mana-mana organisasi.

Korang diingatkan supaya tidak membaca artikel di blog ini jika tidak mahu rasa sakit hati, makan hati dan kecelaruan emosi. Jika berlaku perkara yang tidak diingini adalah di bawah tanggungjawab korang.

Aku bukan ustaz kaunseling 3 pagi untuk memulihkan perasaan korang.

LIGA SUPER

LIGA PERDANA