networkedblogs

Bersahabat..

LAGU CERITA KEBENARAN SEMPENA HARI LAHIR PM, NAJIB RAZAK

Thursday, November 13, 2014

Kandungan #BajetJohor2015 - Bertemakan Membangun Johor Secara Inklusif!! Syabas @KhaledNordin


TITIK SENTUHAN BAJET 2015 "MEMBANGUNKAN JOHOR SECARA INKLUSIF"

STRATEGI PERTAMA: MENGGALAKKAN PERTUMBUHAN EKONOMI DAN MERANSANG PELABURAN.

A. MERANCAKKAN PERTUMBUHAN DALAM BIDANG KEBERHASILAN STRATEGIK
SEKTOR PETROLEUM DAN GAS

1. Kerajaan Negeri Johor dan kerajaan persekutuan bekerjasama membangunkan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) dengan memberi fokus kepada aktiviti-aktiviti industri berteknologi tinggi dan berinovasi. Apabila siap kelak, PIPC akan menyediakan pekerja-pekerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

SEKTOR BIOEKONOMI

2. Menyokong pertumbuhan industri kecil dan sederhana yang berorientasikan bioteknologi melalui program Jelajah Bioekonomi yang memberi manfaat kepada usahawan tempatan melalui proses penjenamaan dan promosi.

3. Mempergiatkan penglibatan masyarakat dalam sektor bioteknologi, melalui Program Pembangunan Bioekonomi Komuniti dengan kerjasama kerajaan persekutuan. Program ini akan melibatkan kerjasama antara pembekal teknologi dari syarikat-syarikat Bio-Nexus dan berasaskan ‘bio’ dengan kumpulan komuniti hampir 100 peserta di setiap daerah, melalui contract farming atau perladangan kontrak.

4. Kerajaan negeri akan memberikan peruntukan bagi melaksanakan program untuk pembangunan modal insan dalam sektor bioteknologi.

5. Pusat Pelaburan Negeri Johor (JSIC) telah diberikan peruntukan berjumlah RM1.5 juta sebagai pemudah cara kepada pelabur.
B. MENGUKUHKAN EKONOMI DESA MELALUI PERTANIAN LESTARI

6. RM4 juta diperuntukkan bagi memperkasakan Program Galakan Usahawan (PGU) di bawah seliaan Jabatan Pertanian Johor bagi tahun 2015. PGU akan dilaksanakan menerusi tiga projek, iaitu Projek Industri Kecil (PIK), Projek Pembangunan Tanah Terbiar (PPTT) dan Skim Pinjaman Satu Mukim Satu Industri (SMSI).

7. Program meningkatkan pengeluaran daging lembu berskala besar, melalui ladang satelit dengan penglibatan seramai 21 peserta dengan penghasilan 18,900 ekor lembu matang setahun dengan peruntukan RM3 juta.

8. RM2 juta diperuntukkan untuk membantu pengusaha tanaman nanas yang mempunyai keluasan kurang daripada 15 ekar bagi membantu meningkatkan pengeluaran mereka.

9. RM20 juta kepada Permodalan Darul Ta’zim untuk membeli dan menyelamatkan tanah-tanah pertanian yang dimiliki oleh Orang Melayu supaya tidak dijual kepada pihak lain, di mana tanah-tanah yang dibeli akan disewakan kepada koperasi dan usahawan terpilih untuk menjalankan aktiviti pertanian.

C. MENJADIKAN JOHOR JAUHARI SELATAN DAN DESTINASI PELANCONGAN TERBAIK MALAYSIA

10. Johor akan ada lima produk pelancongan menjelang tahun 2015 untuk membangunkan Taman Negara Endau-Rompin; Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai sebagai tapak RAMSAR; Johor Pusat Kebudayaan Melayu utama di dunia; Johor Pusat Persidangan Antarabangsa; Hab pelancongan keluarga dengan tarikan seperti Angry Birds, Legoland, Hello Kitty World dan Johor Premium Outlet.

11. Kerajaan persekutuan, melalui ECER telah memperuntukkan RM31.4 juta bagi membangunkan prasarana eko-pelancongan dengan konsep Hutan Hujan ke Terumbu Karang atau Rainforest to Reef di Taman Negara Endau Rompin. Projek ini akan dilaksanakan secara berfasa untuk tempoh lima tahun.

12. Kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi menaik taraf jalan akses ke kawasan pelancongan Tanjung Piai, Pontian.

13. Kerajaan Negeri akan menganjurkan pelbagai festival, termasuk festival sukan, seni dan budaya dengan peruntukan RM1 juta. Antara dua festival yang akan menjadi tumpuan di peringkat antarabangsa ialah Festival Layang-Layang Sedunia dan Festival Zapin.

14. Transformasi Johor Bahru: Urban and Heritage Trail dengan penjenamaan semula Bazar Johor Bahru, mewujudkan Stesen Seni dan perkhidmatan bas percuma “Johor Di Hatiku”.

15. Taman Warisan Semulajadi Nusajaya akan dibangunkan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama UEM Sunrise melibatkan kawasan seluas 300 ekar. Kawasan riadah ini akan menempatkan Taman Tanaman Tropika dan Taman Koleksi Tumbuhan yang kedua-duanya akan beroperasi sebagai tujuan pelancongan, riadah, pendidikan dan penyelidikan.


STRATEGI KEDUA: MEMANGKIN KESEJAHTERAAN HIDUP RAKYAT

A. MENGURANGKAN KEMISKINAN

16. Kerajaan negeri akan meneruskan Program Bantuan Rumah dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.93 juta untuk membina 40 unit rumah baru dan membaik pulih 30 buah rumah.

17. RM8 juta daripada hasil kutipan zakat oleh Majlis Agama Islam Johor akan dibelanjakan untuk membina 200 unit rumah dengan anggaran RM40,000 seunit dan RM1 juta akan diperuntukkan untuk membaik pulih 74 unit rumah.

18. RM6.6 juta bagi bantuan makanan sihat kepada 15,000 murid miskin di Sekolah Agama Johor dengan peruntukan RM2.50 setiap murid untuk sehari sepanjang sesi persekolahan selama setahun.

19. Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan RM100,000 melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKAO) bagi penganjuran program kerohanian dan kepimpinan kepada mereka.

20. RM 1.8 juta kepada 1,800 nelayan dengan pecahan RM 1000 setiap seorang di pesisir pantai Selatan Johor yang disahkan kelayakannya oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

B. MENYEDIAKAN TEMPAT BERLINDUNG UNTUK MEMBINA KELUARGA YANG KUKUH

21. Sasaran pembinaan rumah mampu milik ditingkatkan daripada 28,000 unit kepada 37,000 unit bagi tempoh lima tahun akan datang, mulai tahun 2014.

22. Sebanyak 6,300 unit rumah kos rendah, termasuk Projek Perumahan Rakyat sedang di dalam proses pembinaan.

23. Dua kawasan strategik di sekitar Johor Bahru telah dikenal pasti sesuai untuk pembangunan Taman Perbadanan Islam pada 2015 iaitu di kawasan seluas 15 ekar di Telok Jawa dan 14 ekar lagi di Larkin.

24. Kerajaan Negeri akan menyediakan Skim Sewa Beli dengan sasaran ialah sebanyak 5,000 unit. Ini termasuk 1,000 unit rumah berharga RM42,000 hingga RM80,000 yang akan di sewa beli oleh Majlis Agama Islam Johor untuk diduduki sementara secara percuma oleh penerima bantuan zakat yang berkelayakan.

25. Kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan persekutuan juga akan membina 2,000 unit rumah pada 2015 di bawah program Pembinaan Rumah Penjawat Awam. Ini termasuk penjualan 531 unit kuarters kerajaan yang telah diperoleh menerusi pulangan penswastaan kepada penghuni-penghuni yang mendiaminya.

26. Kerajaan negeri akan menaikkan had minimum kelayakan pendapatan isi rumah bagi pembelian Rumah Mampu Milik Johor dan Kedai Kos Sederhana dari RM6,000 dan RM7,000 kepada RM8,000.

27. Kerajaan akan memberikan baucar RM1,000 untuk membantu mengurangkan deposit utiliti dan kos-kos yang berkaitan pembelian rumah.

28. Perjanjian yang ditandatangani bermula 1 Januari 2015, di mana baucar tersebut boleh dituntut dari pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Perumahan).

C. MENGUKUHKAN AGENDA JOHOR DALAM MEREKAYASA SOSIAL

29. Perbadanan Johor akan mengambil alih tanah seluas 382 ekar di Kem Tebrau bagi tujuan membina lebih banyak rumah mampu milik khusus untuk golongan Bumiputera dan masyarakat setinggan.

30. Kerajaan negeri tidak akan memperbaharui hak milik secara pajakan berkeluasan 196 ekar di kawasan Perindustrian Larkin, daerah Johor Bahru. Kawasan ini akan diwartakan sebagai rizab Melayu dan akan dijadikan kawasan penempatan orang Melayu.

31. Kerajaan akan menyediakan peruntukkan yang mencakupi aspek pendidikan, kebajikan dan membantu usahawan masyarakat India pada tahun 2015 untuk tujuan Pendidikan (RM 1.5 juta), kebajikan (RM 1.5 juta) dan keusahawanan (RM1.0 juta).

32. Bagi menyemarakkan integrasi etnik, keeratan sosial dan memupuk penerimaan kepelbagaian budaya, kerajaan akan menubuhkan Majlis Permuafakatan Perpaduan Negeri Johor.

D. MEWUJUDKAN JOHOR YANG BERSIH DAN ALAM SEKITAR YANG LESTARI

33. Program Johor Bersih dan Lestari 2015. Gelombang perubahan sihat dan bersih dalam suasana kehidupan rakyat Johor.

34. Pada tahun 2015, kerajaan akan memperkasakan pasukan Perubahan Komunikasi Tingkah laku (COMBI) di peringkat Jawatankuasa JKKK, Zon Ahli Majlis dan sekolah-sekolah bagi menangani masalah denggi.

35. Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama Kerajaan Pusat akan memulakan pelaksanaan Water Blueprint Sungai Skudai. Peruntukan akan disalurkan melalui pihak IRDA.

36. Bagi tujuan pemeliharaan alam sekitar, kerajaan negeri telah memutuskan untuk membekukan sebarang aktiviti pembalakan di hutan simpan di seluruh negeri Johor.

E. MEMBUDAYAKAN SUKAN DAN GAYA HIDUP SIHAT UNTUK KEBINGKASAN Malaysia

37. RM40 juta bagi kerja-kerja menaik taraf Stadium Larkin secara berfasa di bawah Pembangunan Larkin Central Park oleh JCorp, mulai 2015.

38. RM20 juta untuk kerja-kerja menaik taraf arena akuatik.

39. RM60 juta bagi pembinaan Stadium Tertutup di Larkin.

40. RM60 juta untuk membina stadium bagi kegunaan sukan trek padang dan balapan di Taman Mount Austin, Johor Bahru melalui kaedah penswastaan.

41. RM11 juta, melalui PBT untuk membina 56 gelanggang serba guna dan 30 Gym Muafakat Johor dalam usaha kerajaan menyahut seruan gaya hidup moden dan sihat khususnya bagi golongan muda.

42. Mewujudkan pusat rekreasi tambahan, terutamanya di kawasan Iskandar selari dengan citra masyarakat yang memerlukan ruang riadah bersama keluarga.

F. MEMPERKASA AGENDA BELIA

43. Hab Belia Tempatan di Hutan Bandar Majlis Bandar Raya Johor Baru (MBJB) dan Hab Belia Antarabangsa dengan kos RM23.4 juta.


44. RM400,000 diperuntukkan bagi menggerakkan Sukarelawan Darul Ta'zim, melalui aktiviti seperti motivasi pelajar, pembangunan sukarelawan, khidmat masyarakat, serta sukarelawan sukan.
45. Program Pembangunan Atlet seawal usia 10 tahun dengan memfokuskan sukan bola sepak, takraw serta sukan padang dan balapan dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM3 juta.

46. Iskandar Malaysia Motorsports City and Fast Track akan dibangunkan dengan pelaburan komited sejumlah RM3 bilion.

47. Program-program pencegahan dan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan dadah akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan peruntukan sebanyak RM500,000.

G. MEMPERKASA SUMBANGAN DAN PROFESIONALISME WANITA

48. Program Kemahiran Inkubator Ibu Tunggal (I-KIT), Program Inkubator Keusahawanan Wanita (I-KeuNita) dan Program Teras Pembangunan Pembangunan Wanita dengan memberi penekanan kepada tiga kategori golongan wanita, iaitu Wanita Profesional, Wanita Pertengahan dan Wanita Amatur dengan menggunakan peruntukan Kerajaan Pusat sebanyak RM150,000.

49. Pembangunan wanita India di negeri Johor berdasarkan peruntukan untuk pembiayaan keseluruhan yang disediakan di bawah AIM oleh Kerajaan Pusat untuk usahawan India. Kerajaan Johor menyasarkan seramai 100 orang usahawan wanita India Johor akan mendapat manfaat daripada pengagihan ini.

H. MEMELIHARA BUDAYA DAN WARISAN JOHOR

50. RM2.5 juta Pusat Pentadbiran Yayasan Warisan Johor akan dibina secara berfasa di Kompleks Mawar. Pembinaan Pembangunan Berfasa Pusat Warisan Johor akan menempatkan pelbagai aktiviti kebudayaan seperti Akademi Pembinaan Karaktor, kelas pemugaran tulisan jawi, kelas zapin serta pelbagai paparan seni akan dipergiatkan.

51. Memartabatkan Permainan tradisional di sekolah rendah dan menengah seluruh negeri Johor dengan peruntukan sebanyak RM250,000.

52. Peruntukan untuk promosi kebudayaan, kesenian dan warisan Johor dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

53. Insentif kerjaya sebanyak RM300,000, khusus untuk artis kebudayaan Yayasan Warisan Johor.

54. Tabung Amanah Warisan Johor sebanyak RM20 juta akan diperuntukkan bagi Projek Kembara Wangsa. Peruntukan ini akan digunakan untuk menaik taraf prasarana dan pemulihan tapak-tapak bersejarah di sepanjang Sungai Johor.

55. RM4.3 juta diperuntukkan bagi Pembangunan Muzium Timbalan Setia Negeri dan Muzium Mersing akan dibangunkan pada tahun 2015.

56. Bagi memastikan kelangsungan budaya dan penulisan masyarakat tempatan, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM100,000 bagi penganjuran aktiviti Persatuan Penulis Johor.

STRATEGI KETIGA: MEMBANGUNKAN MASYARAKAT BERILMU DAN BERKEMAHIRAN BAGI MENDUKUNG PERALIHAN KE ARAH EKONOMI BERASASKAN PENGETAHUAN

A. MEMBINA UPAYA INSAN UNTUK KEKUATAN BANGSA

57. Menyediakan akses kepada asuhan awal kanak-kanak. Dasar Kerajaan Negeri Johor menyasarkan agar menjelang tahun 2017, setiap anak-anak negeri Johor yang berusia empat tahun ke atas sudah berada dalam kelas pendidikan awal.

58. Pembangunan Hab Kemahiran Johor (Johor Skill Hub) di kawasan seluas 100 ekar dikenal pasti di daerah Kota Tinggi oleh Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dengan peruntukan sebanyak RM225 juta bagi menyediakan pengajian meliputi sektor minyak dan gas, pengangkutan, pelancongan, Bioteknologi dan kesihatan.

59. Lembaga Pelabuhan Johor akan menubuhkan Centre of Excellence for Maritime Related Activities bagi memenuhi permintaan tinggi untuk tenaga kerja dalam industri Maritime dan pelabuhan. Ia akan melibatkan seramai 15,000 orang dalam tempoh lima tahun akan datang.

60. Program Johor Talent akan dipergiatkan dan diteruskan untuk mencari bakat terbaik di kalangan graduan untuk diberikan peluang latihan industri atau internship di sektor awam atau syarikat milik kerajaan.

61. RM1.5 juta kepada Program Duta Jauhar yang melibatkan penyertaan mahasiswa Anak Johor di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara, di mana program ini bertindak sebagai platform untuk mengemukakan idea dan pendekatan inovatif dalam melaksanakan projek transformasi komuniti.

62. RM260,000 di bawah Skim Biasiswa Sultan Ibrahim yang diperkenalkan semula untuk mencari bakat terbaik bagi ijazah tinggi peringkat Sarjana dan Kedoktoran Falsafah.

63. RM1.6 juta di bawah JCorp Education Sponsorship Programme (JESP) bertujuan menaja pelajar pra-siswazah dalam empat bidang, termasuk Ekonomi, Kejuruteraan, Undang-undang dan Perakaunan yang akan dimanfaatkan oleh 100 pelajar.

64. RM7.2 juta di bawah JCorp Chartered Accountancy Program (JCAP) yang akan melatih 100 akauntan bertauliah dengan menempatkan pelajar-pelajar terbaik firma-firma perakaunan terbaik dalam dan luar negara.

65. RM1 juta diperuntukkan bagi meringankan beban bayaran masuk universiti untuk anak-anak Johor. RM1,000 untuk peringkat Ijazah dan RM500 bagi peringkat Diploma.

66. RM2 juta untuk Tuisyen SPM YPJ yang melibatkan pelajar sekolah menengah aliran sains tingkatan 5 dengan penglibatan 148 sekolah seluruh negeri dan dimanfaatkan oleh 3,100 pelajar.

67. Potongan 'rebat' sebanyak 25% akan diberikan untuk semua pembayaran balik secara penuh pinjaman pendidikan YPJ, berkuat kuasa serta merta sehingga Jun 2015. Sehingga kini, seramai 13,300 peminjam YPJ sedang dalam tempoh balik pembayaran.

68. Seramai 25 orang pegawai tadbir kerajaan negeri akan diperuntukkan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Master Degree. Kerajaan negeri juga mengambil ketetapan bahawa semua penjawat awam Johor mesti mengikuti sekurang-kurangnya 7 hari kursus atau latihan selama setahun bagi membangunkan potensi karier mereka.

STRATEGI KEEMPAT: MEMBUDAYAKAN INOVASI, KREATIVITI DAN KEUSAHAWANAN BERDAYA SAING GLOBAL

69. Penjenamaan semula Perbadanan Usahawan Johor Berhad kepada Pusat Pembangunan Usahawan Johor (EDC) yang telah beroperasi sejak September 2014.

70. Tiga Pusat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) akan dibina di Air Hitam, Kota Tinggi dan Mersing yang akan dijadikan pusat pengumpulan produk-produk IKS negeri Johor.

71. Perbadanan Islam Johor akan menyediakan inkubator atau ruang pejabat kecil bagi menggalakkan golongan belia untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan dengan peruntukkan RM3 juta. Program Bantuan Penjaja Kecil dan Program Bantuan Youth Collective dan Program Tajaan NGO Belia Islam akan diteruskan.

72. Program transformasi kedai runcit atau TUKAR akan digiatkan dengan tujuan menukar orientasi kedai runcit tradisional kepada kedai moden yang menjual barangan keperluan rakyat, dan memberi bantuan kepada 50 buah kedai seumpamanya. Peruntukan awal RM2 juta pada tahun 2014 dan ditambah lagi RM1.5 juta.

73. Kerajaan negeri dengan kerjasama IRDA menyasarkan pembangunan 1,000 usahawan muda yang terlibat dalam perniagaan berorientasikan model perniagaan maya.

74. Pusat Pembangunan Usahawan Johor (EDC) akan mengambil alih 68 unit premis komersial dan menawarkan ia kepada usahawan kecil dan sederhana bagi aktiviti perniagaan mereka. Premis komersil itu adalah di daerah Johor Bahru, Kluang, Muar dan Mersing.

75. Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan akan menyediakan 300 ruang perniagaan dengan melibatkan kos RM10 juta dalam usaha untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi Johor agar terus mapan dengan disokong oleh golongan usahawan baru.

76. Penubuhan Koperasi Iskandar Malaysia dengan matching grant untuk perniagaan rantaian kedai runcit harga patut bagi menangani kos sara hidup dengan peruntukan RM10 juta.

77. Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Islam Johor (PIJ) akan membangunkan tanah seluas 300 ekar untuk pembangunan kemudahan sementara aktiviti sokongan di Pengerang.

STRATEGI KELIMA: MEMODENKAN PRASARANA SERTA MENGUKUHKAN KEPERCAYAAN AWAM TERHADAP PENTADBIRAN DAN INSTITUSI KERAJAAN

A. MENYEDIAKAN PRASARANA DAN INFRASTRUKTUR AWAM YANG MODEN, CEKAP DAN SISTEMATIK

78. RM600 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan rangkaian jalan-jalan negeri.

79. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya Negeri akan mendapat peruntukan RM50 juta bagi tujuan pembangunan Jalan dan Jambatan Negeri bagi tahun 2015.

80. Kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan pusat akan melaksanakan Projek Mengatasi Masalah Banjir dan Mencegah Hakisan Pantai yang menjejaskan kualiti hidup seramai 50,000 orang ia akan melibatkan peruntukan sebanyak RM22.14 juta.

81. Program Pencegahan hakisan di sepanjang Perairan Tanjung Piai, Pontian dengan peruntukkan RM45 juta.

82. Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan mempertingkatkan keberkesanan prasarana awam di luar bandar, peruntukan RM50.15 juta meliputi bekalan air luar bandar, RM11 juta, jalan-jalan luar bandar, RM38.15 juta dan bekalan elektrik luar bandar, RM 1 juta.

83. Satu Pelan Induk akan disediakan merangkumi 2 bahagian utama iaitu Pelan Induk Pengangkutan Awam Johor dan Pelan Tindakan Pengangkutan Awam Daerah.

84. Penjenamaan Semula Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia (PAIM).
B. MENGUKUH KEERATAN SOSIAL DAN MEMASTI KESELAMATAN LINGKUNGAN

85. Rukun Tetangga dan Skim Rondaan Sukarela terus diperkukuhkan di kawasan perumahan dengan peruntukkan RM900,000.

86. RM4 juta diperuntukkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memasang lebih banyak lampu awam di kawasan tumpuan ramai bagi mengelakkan kejadian jenayah.

87. Penambahan anggota Polis Bantuan berjumlah 1,100 orang yang akan ditempatkan di Iskandar Malaysia.

88. Sebuah lagi Ibu Pejabat Polis (IPD) akan dibina di kawasan Nusajaya yang dianggarkan bernilai RM117 juta.

C. MEMBANGUNKAN DESA LESTARI

89. Kerajaan telah memperuntukkan RM4.4 juta untuk membina 100 unit rumah secara berkelompok kepada golongan sasar di kawasan Sedili Kecil, Kota Tinggi.

90. Program Pembangunan Kampung Tradisional di antara kerjasama kerajaan negeri dan KEJORA, peruntukan RM11.5 juta untuk membina kemudahan awam dengan selesa.

D. MELAHIRKAN MASYARAKAT YANG ISLAMI DAN BERAMAL SOLEH

91. RM457,600 untuk pelaksanaan Program Iqra’ dan Fardu Ain (IQFA) kepada kanak-kanak yang mengikuti pembelajaran dan asuhan awal di tadika-tadika KEMAS.

92. Pemberian imbuhan tahunan kepada guru-guru KAFA dan elaun khas cuti bersalin.

93. Kerajaan negeri sedang di dalam peringkat kajian bagi semakan semula gaji guru agama di negeri Johor.

94. Melaksanakan Pelan Strategik Pendidikan Islam Johor yang akan menggubal empat perkara asas, iaitu melestarikan pendidikan agama, menambah baik kesemua kemudahan pembelajaran serta pengajaran yang memberi penekanan kepada teknologi digital, ganjaran setimpal kepada guru-guru dan menjadikan Johor sebagai Hab Pendidikan Antarabangsa Aliran Agama.

95. RM2 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan peningkatan tahap kebersihan sekolah-sekolah agama yang mempunyai jumlah pelajar melebihi 1,100 pelajar.

96. RM2.82 juta untuk Badan Kebajikan Sekolah Rendah Agama Bersepadu Johor dengan pecahan RM5,000 bagi setiap sekolah yang melibatkan penglibatan sebanyak 564 sekolah.

97. Festival Kesenian Islam Johor akan dijadikan acara tahunan.

98. RM44.5 juta bagi bantuan perubatan dan penjagaan kesihatan seperti rawatan hemodialisis yang akan ditambah baik dan dipertingkatkan.

99. RM1.8 juta diperuntukkan, melalui Perbadanan Islam Johor (PIJ) untuk tambahan dua lagi Pusat Rawatan Dialisis yang akan dibuka di Ayer Hitam dan Pasir Gudang.

100. RM18.4 juta bagi golongan mualaf, di mana dana zakat akan diperuntukkan untuk memastikan kebajikan saudara kita terbela, termasuk bantuan seperti perumahan, pendidikan, bantuan Hari Raya, perubatan, perniagaan dan kebajikan.

101. Elaun Ketua Kampung akan dinaikkan dari RM800 kepada RM1,000.

102. Elaun Pusat Pelatih Dalam Komuniti (PDK) dinaikkan dari RM800 kepada RM1,000.

103. RM3 juta bagi memperkasakan pertubuhan yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat, melalui Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

104. Tabung Pembangunan Perkuburan Islam Berpusat dan Bersepadu ditubuhkan di bawah MAIJ di dalam kawasan Iskandar Malaysia di kawasan berkeluasan 124 hektar di beberapa lokasi, termasuk Lima Kedai di Nusajaya, Kulaijaya dan Cahaya Masai di Pasir Gudang.

No comments:

ARTIKEL TERDAHULU

NOTIS & PENAFIAN

Sebarang maklumat yang hendak dikongsikan boleh email terus kepada aku di harapanesok@gmail.com.

Artikel yang dipaparkan di blog ini adalah luahan hati aku selaku rakyat Malaysia yang bebas bersuara yang tiada kaitan dengan mana-mana organisasi.

Korang diingatkan supaya tidak membaca artikel di blog ini jika tidak mahu rasa sakit hati, makan hati dan kecelaruan emosi. Jika berlaku perkara yang tidak diingini adalah di bawah tanggungjawab korang.

Aku bukan ustaz kaunseling 3 pagi untuk memulihkan perasaan korang.

LIGA SUPER

LIGA PERDANA