MUSIM Liga Malaysia 2014 akan bermula dalam tempoh dua minggu lagi tetapi pengurus pasukan Johor Darul Takzim (JDT) Cesar Ferrando Jimenez tidak tergesa-gesa untuk menamakan kesebelasan utamanya.
    
Ini kerana bekas jurulatih Atletico Madrid dan Valencia dalam La Liga Sepanyol itu mempunyai ramai pemain bintang termasuk bekas pemain antarabangsa Argentina, Pablo Aimar dan Luciano Figeuroa.
    
"Saya belum memutuskan barisan kesebelasan utama. Johor merupakan pasukan yang besar dan saya bangga dengan pemain. Kami mahu menang setiap perlawanan...tidak kira sama ada Aidil Zafuan atau Aimar.
    
"Apa yang paling penting ialah Johor dan bukan pemain. Yang paling penting Johor menang dalam setiap perlawanan," katanya pada sidang media di sini hari ini sempena perlawanan persahabatan menentang kelab Indonesia, Pelita Bandung Raya.
    
Perlawanan tersebut akan diadakan di Stadium Larkin di sini pada pukul 8.45 malam esok.
   
Walaupun ia hanya perlawanan persahabatan pra musim, Jimenez berkata beliau menganggapnya sebagai misi penting untuk mengukur dan menilai tahap persediaan dalam kalangan pemain JDT sebelum bermula saingan Liga Super.
    
"Kami memandang serius perlawanan persahabatan ini," katanya.   

Dalam usaha memantapkan pasukan musim ini, JDT telah mengikat beberapa pemain antarabangsa seperti Aimar, Figueroa dan dua pemain antarabangsa Singapura, Bhaihakki Kaizan dan Harris Harun serta beberapa pemain kebangsaan termasuk Amri Yahyah, Mahalli Jasuli dan Asraruddin Putra Omar dari Selangor.
    
Sementara itu, ketua jurulatih Pelita Bandung Raya, Dejan Antonic, yang fasih berbahasa Indonesia,  berkata apa yang penting esok bukanlah keputusan perlawanan tetapi mengetahui dengan lebih jelas kelemahan dan kekuatan pasukan.
    
Ketua pasukan Pelita, Bambang Pamungkas yang turut hadir pada sidang media itu, berkata apa yang penting adalah membina keserasian dalam kalangan pemain sebelum bermulanya Liga Indonesia bulan depan. - Bernama

HE : Selaku blogger dr Johor aku sungguh bangga dengan prestasi dan corak permainan JDT...Ala2 Liga Spain gitu...namun seperkara perlu ditekankan ialah..pemain perlu fokus dan yakin kat diri tu boleh....#LUASKANKUASAMU...Ingat!!!!jangan gatal main suar!