networkedblogs

Bersahabat..

LAGU CERITA KEBENARAN SEMPENA HARI LAHIR PM, NAJIB RAZAK

Thursday, January 15, 2015

Larangan Baju Kurung : Pelajar Salah Tafsir Maklumat...



KUALA LUMPUR - Masalah komunikasi dan tersalah tafsir maklumat oleh pelajar dan ibu bapa adalah punca tercetusnya isu pemakaian baju kurung oleh pelajar bukan Melayu, dakwa pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mutiara, Mohd Amir Abdul Ghani.

Beliau berkata, pihak sekolah tidak pernah menghalang pelajar perempuan bukan Melayu untuk memakai baju kurung, cuma menekankan supaya memakai baju kurung dengan cara yang betul.

"Kalau hendak pakai baju kurung, pelajar mestilah memakai dengan betul iaitu memakai kesemua butang baju tersebut. Apabila kata begini, mereka anggap kita (sekolah) tidak benarkan pakai baju kurung.

"Sekolah tidak pernah menghalang sesiapa pakai baju kurung kerana ia adalah baju kebangsaan. Malah guru-guru bukan Melayu pun boleh pakai baju kurung," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Media tempatan melaporkan dakwaan seorang pelajar sekolah yang berumur 15 tahun dilarang memakai baju kurung oleh pihak pentadbiran sekolah di sini kononnya atas alasan baju kurung hanya untuk pelajar perempuan Melayu.

Mohd Amir berkata, permintaan pihak sekolah supaya memakai kesemua butang baju kurung adalah bagi menjaga aurat pelajar sekali gus menjaga keselamatan pelajar itu sendiri.

Katanya satu perbincangan antara pengetua, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan penjaga kepada murid berkenaan (pengadu) turut diadakan pada hari ini bagi menyelesaikan konflik berkenaan.

Beliau menegaskan pelajar perempuan yang terlibat akan kembali ke sekolah dan bebas memakai baju kurung.

Mohd Amir berkata, beliau tidak berada di sekolah pada hari kejadian dan mendakwa masalah komunikasi itu adalah antara guru dan pelajar.

Pengetua itu percaya jika beliau berada di sekolah pada hari tersebut mungkin perkara itu tidak timbul dan menjadi isu hangat di media sosial.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin semasa mengulas perkara itu berkata Kementerian Pendidikan tidak pernah mengeluarkan arahan melarang pelajar perempuan bukan beragama Islam memakai baju kurung ke sekolah kerana pemakaian tersebut sejajar dengan dasar kementerian dalam soal pemupukan perpaduan.

"Tak ada arahan dikeluarkan oleh kementerian kepada mana-mana pihak pentadbiran sekolah untuk sekat atau halang pelajar bukan Islam untuk pakai baju kurung," kata Muhyiddin dalam sidang media selepas melancarkan Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru di sini hari ini.

Mohd Amir berkata beliau amat menggalakkan pelajar perempuan bukan Melayu sekolah itu jika berhasrat untuk memakai baju kurung kerana ia adalah simbol perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.

Menurut beliau, majoriti pelajar di sekolah berkenaan adalah pelajar berbangsa Cina dan baju kurung tidak pernah menjadi masalah dalam kalangan pelajar di sekolah itu sebelum ini.

Tinjauan Bernama juga mendapati beberapa guru bukan Melayu bebas memakai baju kurung di sekolah tersebut. - Bernama

No comments:

ARTIKEL TERDAHULU

NOTIS & PENAFIAN

Sebarang maklumat yang hendak dikongsikan boleh email terus kepada aku di harapanesok@gmail.com.

Artikel yang dipaparkan di blog ini adalah luahan hati aku selaku rakyat Malaysia yang bebas bersuara yang tiada kaitan dengan mana-mana organisasi.

Korang diingatkan supaya tidak membaca artikel di blog ini jika tidak mahu rasa sakit hati, makan hati dan kecelaruan emosi. Jika berlaku perkara yang tidak diingini adalah di bawah tanggungjawab korang.

Aku bukan ustaz kaunseling 3 pagi untuk memulihkan perasaan korang.

LIGA SUPER

LIGA PERDANA