networkedblogs

Bersahabat..

BUAL BICARA #UMNO71 BERSAMA TAN SRI ANNUAR MUSA

Tuesday, March 7, 2017

Menjawab Tuduhan Terhadap Isu Hartanah Negeri Johor!!Jangan Campur Urusan Negeri Johor!!Negeri Pembangkang Lebih Teruk!!!


Baru - baru ini, DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah supaya orang luar jangan memecah-belahkan perpaduan Bangsa Johor dengan mencampuri urusan negeri ini sewaktu baginda berkenan merasmikan Galeri Darurat Bukit Kepong, Muar, Johor. 

Fitnah dan tuduhan - tuduhan berniat jahat yang cuba dimainkan oleh pelbagai pihak hanya bersandarkan kepentingan peribadi semata - mata yang akhirnya jika tidak dibendung akan membinasakan nilai bangsa yang sedang kita bina di Negeri Johor. Sejarah sudah membuktikannya, baru - baru ini 35 buah keluarga Flat 4 tingkat Kampung Kerinchi akhirnya kecewa apabila terlepas nikmat dan peluang seperti keluarga lain untuk memiliki Residensi Kerinchi akibat termakan fitnah dan hasutan daripada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar. Semoga perkara ini menjadi ikitibar untuk kita semua. 

Saat ini masih berleluasa tuduhan dan mainan persepsi jahat yang sedang dimainkan oleh golongan ini dan sasaran mereka hanya tertumpu kepada kerajaan Negeri Johor. Hampir semua jentera pembangkang di seluruh negara dikerah untuk menyerang kredibiliti kepimpinan YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin tentang isu rasuah yang melanda Negeri Johor baru - baru ini. Jika dilihat kepada kredibiliti dan kepimpinan MB Johor yang diyakini rakyat serta hubungan baik dengan pihak istana, pasti ramai yang bermerah mata menahan geram. 

Edry Faizal Yusof, seorang melayu DAP dan juga Ahli Majlis Perbandaran Selayang begitu kagum dengan kepimpinan YAB Menteri Besar Johor sehinggakan beliau sendiri ingin menonjol dengan mencari publisiti di Johor untuk menutup kekurangan dan ketirisan di Negeri Selangor. Bak kata Usman Awang, Sasterawan Negara, orang Johor ini menikam dengan pantun, menyanggah dengan senyum. Maka, setiap persoalan dan tuduhan berniat jahat itu perlu dijawab agar rakyat tidak keliru akibat campur tangan orang luar ini. 

Pertama, beliau menuduh seolah - olah Kerajaan Negeri Johor sahaja yang mengamalkan dasar pertukaran status pemilikan unit hartanah bumiputera kepada bukan bumiputera sedangkan perkara yang sama juga dilaksanakan di Selangor dan diuruskan oleh Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor. Selain itu juga, YAB Menteri Besar juga sudah menekankan bahawa isu yang melanda ini sama sekali tidak melibatkan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) serta Rumah Kos Rendah. Sebaliknya, ianya hanya melibatkan rumah - rumah mewah yang tidak terjual yang akhirnya dijual kepada bukan bumiputera. 

Penukaran status pemilikan unit hartanah ini tentunya penting untuk mengurangkan lambakan kediaman mewah. Hal ini adalah disebabkan Kerajaan Negeri Johor perlu memastikan rumah harga pasaran rumah stabil dan tidak menjunam akibat lebihan penawaran. Lantaran itu, impak negatif kejatuhan harga pasaran rumah termasuk penjejasan keyakinan pengguna, penurunan perbelanjaan serta pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah akan dielakkan. Tambahan pula, kerajaan negeri Johor perlu mengurangkan risiko fenomena 'Ghost Town', di mana projek perumahan kelihatan kosong tanpa penghuni kerana fenomena ini menjejaskan keyakinan pelabur dan juga keyakinan pembeli potensi hartanah terhadap perkembangan industri hartanah.

Ketelusan pentadbiran ini wajar mendapat pujian apabila RM600 juta berjaya dikutip melalui Tabung Perumahan Bumiputera yang mana hasil ini digunakan untuk membina lebih banyak Rumah Mampu Milik Johor dan Rumah Kos Rendah, dan banyak lagi inisiatif telah dilaksanakan di bawah tabung ini. Beliau juga menuduh RMMJ yang telah siap dibina hanya sekitar 11,600 unit. Hakikatnya, fakta sebenar ialah 12,108 unit telah disiapkan bermula dari tahun 2013 sehingga tahun 2016. Sebanyak 6,327 unit rumah lagi akan disiapkan pada tahun 2017, manakala 18, 456 unit disasarkan mampu dibina pada tahun 2018 dan 30,065 unit pada tahun 2019 dan 2020. Justeru, tidak hairanlah apabila Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamed teruja dengan pencapaian YAB Menteri Besar membina rumah mampu milik dan mengakui negeri Johor paling pesat membantu Bumiputera pada akaun Twitternya bertarikh 3 Oktober 2015. 

Tuduhan seterusnya bahawa pemaju-pemaju di Johor selama ini lebih berminat membina rumah-rumah mewah mampu tengok berbanding rumah mampu milik serta tuduhan bahawa Kerajaan negeri Johor pro-pemaju adalah tidak benar sama sekali. Sebagai contoh, Kerajaan negeri telah menyenarai hitam sebanyak 28 pemaju kerana gagal membina lebih 30,000 unit rumah kos rendah dalam tempoh ditetapkan pada tahun 2014. Hal ini membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pemaju perumahan yang gagal membina unit rumah mampu milik walaupun telah mendapat kebenaran merancang. Dengan itu, Kerajaan negeri Johor telah mengambil langkah proaktif bagi menangani isu perumahan antaranya dengan memperkasa Dasar Perumahan Negeri (DPN) yang menetapkan kuota 40 peratus untuk pembangunan rumah mampu milik bagi perumahan baharu. Akibatnya, beberapa syarikat pemaju perumahan sudah bersetuju membina rumah mampu milik termasuk JCorp yang akan membina 3,600 unit rumah dan UEM Sunrise yang akan membina 10,000 unit di Nusajaya. 

Yang lebih menghairankan ialah tuduhan Edry Faizal bahawa penetapan harga siling untuk pemilikan warga asing ibarat sekadar acah-acah bahawa kononnya kerajaan negeri Johor memandang serius isu ini. Langkah bijak kerajaan negeri Johor untuk menetapkan harga siling sememangnya diperlukan supaya warga asing tidak mengambil kesempatan untuk membeli atau melabur dalam projek perumahan kos rendah dan kos sederhana. Dengan itu, kerajaan negeri Johor telah menetapkan bahawa warga asing hanya boleh memiliki 10 hingga 30% daripada hartanah di luar "zon antarabangsa" di Koridor Pembangunan Selat Johor untuk melindungi kepentingan rakyat Johor tempatan dalam perumahan dan hartanah. Secara khususnya, "zon antarabangsa" untuk pemilikan asing hartanah adalah tertakluk kepada pemilikan 50% dan harga minimum sebanyak RM 1 juta. Peruntukan zon antarabangsa penting untuk mengelakkan harga pasaran projek perumahan untuk pemilik tempatan dipengaruhi oleh spekulasi harga hartanah warga asing.

Beliau begitu mendabik dada, walaupun dengan kedangkalan ilmu dan fakta, mengumumkan bahawa rizab di Negeri Selangor meningkat dua kali ganda. Jika selangor berbangga dengan keluasan rizab mereka sekitar 170,533 hektar pada tahun 2014. Johor juga lebih menarik dan hebat. Jumlah tanah rizab melayu di Johor meningkat sebanyak 555,000 hektar sehingga Oktober tahun ini berbanding pada tahun 2012 iaitu 294,000 hektar dan ia sekaligus menjadikan Johor negeri paling tinggi memiliki tanah rizab Melayu iaitu mewakili 29 peratus keluasan negeri. Secara khususnya, tanah rizab melayu di Johor kini 18 kali lebih besar daripada yang diwartakan pada tahun 1957. 

Kepada kerajaan pimpinan Azmin Ali di Selangor khususnya, seeloknya mereka menumpukan perhatian kepada masalah dan ketirisan yang sedang melanda negeri Selangor. Azmin Ali seharusnya menyelesaikan perkara yang berlaku di Selangor, daripada masalah sosial sehingga kepada isu pecah amanah. Begitu juga dengan pelbagai skandal dan janji - janji manis dari Pakatan Rakyat, seharusnya diselesaikan sebelum mencampuri urusan ‘rumah tangga’ orang lain. Bak kata pepatah, hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Kepada rakyat Selangor, bangunlah dari lena dan khayalan yang dusta akibat ketidak telusan dan pentadbiran yang caca marba di Selangor. Bagaimana satu Pakatan Rakyat yang porak peranda kini sudah berubah kepada Pakatan Harapan. Makanya Harapan hanya tinggal Harapan.

Rakyat Selangor juga perlukan penjelasan daripada kerajaan negeri berapa sebenarnya Rumah Mampu Milik Selangor yang telah disiapkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor pimpinan Azmin Ali. Hal, ini perlu dipersoalkan kerana mengikut data sedia ada hanya bekas Menteri Besar Selangor yang digulingkan sebelum ini iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menyiapkan cuma sekitar 1,682 unit rumah sahaja. Jika jumlah ini masih tidak meningkat dan sekadar melontarkan janji-janji manis maka ia sesuatu yang amat merugikan rakyat Selangor. Selain itu penjelasan juga perlu diberikan dalam isu YAWAS, mesin judi dan skandal rumah “Disneyland” Adam Rosly serta banyak lagi ketirisan yang berlaku di Selangor.

Akhir kata kepada ahli majlis tersebut, ahli politik dan semua pemimpin yang tidak senang dengan apa yang Johor kecapi hari ini, Johor sememangnya sudah lama menjadikan intergriti sebagai indikator utama kepimpinan di Johor untuk berkhidmat kepada rakyat melalui kepimpinan yang telus dan jujur. Buktinya, pada 2016, kesemua PBT dan GLC di negeri Johor telah menandatangani ikrar intergriti korporat (CIP) bersama SPRM bagi membuktikan kerajaan pimpinan YAB Menteri Besar Johor begitu serius untuk berkhidmat kepada rakyat dengan sebaiknya. Kepada kerajaan negeri Selangor, fikir-fikirkan untuk bekerjasama bersama SPRM, dikhuatiri hampir lumpuh kerajaan Pakatan Rakyat di sana ‘dibersihkan’ oleh SPRM. 

Sekian, kepada Allah kami berserah.

No comments:

ARTIKEL TERDAHULU

NOTIS & PENAFIAN

Sebarang maklumat yang hendak dikongsikan boleh email terus kepada aku di harapanesok@gmail.com.

Artikel yang dipaparkan di blog ini adalah luahan hati aku selaku rakyat Malaysia yang bebas bersuara yang tiada kaitan dengan mana-mana organisasi.

Korang diingatkan supaya tidak membaca artikel di blog ini jika tidak mahu rasa sakit hati, makan hati dan kecelaruan emosi. Jika berlaku perkara yang tidak diingini adalah di bawah tanggungjawab korang.

Aku bukan ustaz kaunseling 3 pagi untuk memulihkan perasaan korang.

LIGA SUPER

LIGA PERDANA